Saturday 28 July 2012


My pregnancy stories (English version will be available soon)

Inilah "al-kisah" saya yang panjang dan lebar! Saya memang mengalami dysmenorrhea (senggugut) tahap serius sejak remaja. Ada masalah "hormonal imbalance" dan Gynae mengatakan sama ada saya sukar mengandung/tak dpt zuriat/mudah keguguran.

1999
Ketika ini saya bekerja sepenuh masa sebagai Eksekutif Komunikasi Korporat. Saya mengandung anak sulung dan ia dianggap uneventful pregnancy. Yang sulung lahir seberat 2.3kg (low birthweight babypada minggu ke-37 secara normal. Fully breastfed sehingga usia hampir 3 tahun.

2001
Mengandung anak kedua. Masih bekerja sepenuh masa di KL. Saya tidak sedar saya mengandung sehingga usia kandungan 12 minggu, kerana lactation-induced amenorrhea. Masih meneruskan penyusuan sehingga usia kandungan 7 bulan, disarankan berhenti kerana saya mengalami contractions. Yang kedua lahir ketika kandungan berusia 38 minggu, seberat 2.78kg.  Saya meneruskan penyusuan susu ibu sepenuhnya sehingga 2 tahun 3 bulan, sebahagiannya secara tandem nursing bersama kakaknya.    
  
2002
Saya sudah punyai dua org anak perempuan, saya meletak jawatan dan kami berpindah ke Brunei pada April 2002 kerana mengikut suami yang dihantar bekerja di sana. Saya disahkan mengandung kali ketiga hujung tahun tu. Pada minggu ke-11 mula pendarahan dan gugur pada minggu ke-14. Saya keluar masuk hospital Panaga, Brunei beberapa kali setiap kali turun darah. Namun D&C tak dibuat kerana gugur habis (complete abortion).

2003
Saya mengandung lagi. Pemeriksaan dibuat di hospital Kuala Belait, Brunei. Kali ini pada scan minggu ke-10 disahkan kembar. 2 jantung dan dua kantung. Kembar tak seiras. Tetapi pada minggu ke 12, pendarahan bermula, bila diperiksa, satu jantung sudah tidak berdegup lagi dan saya mengalami mild contractions. Saya ditahan di hospital seminggu, keluar "clots" namun bayi satu lagi masih hidup. Saya dibenarkan balik ke rumah, tetapi masih turun darah dan diarah untuk bedrest. Pendarahan berterusan tetapi bayi satu lagi masih dalam keadaan baik, setiap 2-3 minggu sekali saya dimasukkan selama beberapa hari di hospital kerana turun darah yang banyak dan keluar "clots" atau kerana “contractions” yang kuat.  Beginilah keadaan saya dari minggu ke-13 hingga minggu ke-18 apabila tiba-tiba saya hampir pitam kerana keluar pendarahan banyak dan ada keluar “clots” lagi. Saya dimasukkan ke hospital lagi dan diarah bedrest sambil diperiksa tiap2 hari oleh pakar. Rupa-rupanya dah berlaku dilation sebanyak 2cm dan air ketuban sudah mula bocor. Saya juga menerima satu pint darah kerana tahap hemoglobin saya turun.

Akhirnya setelah dua minggu terlantar, pada awal pagi 18 Ogos 2003, anak saya, gugur/lahir (stillborn) dengan berat 480gm dengan cukup sifat pada minggu ke-20 dan dikebumikan di Brunei. Saya melalui D&C utk memastikan semua uri dan kantung kembarnya juga dibersihkan. Alhamdulillah, saya pulih secara fizikal. Kami sekeluarga sedih namun redha dan pasrah. Saya berpantang sendirian kerana tiada ahli keluarga berdekatan, sekadar kawan-kawan seMalaysia yang banyak membantu. Anak-anak gadis saya masih terasa sehingga kini betapa sedihnya masa tu sebab sudah bersedia menyambut adik lelaki mereka setelah saya keluar hospital. Sebaliknya kami sekeluarga terpaksa ke tanah perkuburan.... Innalillahi wa inna ilaihi rajiuun.

2005
Setelah pulang dari Haji awal tahun itu, saya disahkan mengandung lagi. Alhamdulillah, hingga minggu ke-10 masih kuat. Namun masuk minggu ke-11, saya mula turun darah dan sekali lagi kehilangan bayi saya pada usia kandungan 13 minggu. Saya melalui D&C lagi, kali ini di Jerudong Park Hospital, Brunei.

2006-2007

Kami masih lagi di Brunei. Saya mengandung lagi dan terus diletakkan dalam kategori “high risk” dan diberi hormon “Duphaston” untuk menyokong kandungan. Alhamdulillah, hanya ada sedikit pendarahan berlaku pd minggu ke-12 tetapi seterusnya kandungan semakin kuat malahan saya dapat teruskan menjadi adult swimming instructor sehingga kandungan masuk minggu ke-36. Pada minggu ke-38, anak ke-3 saya lahir seberat 2.9kg setelah saya mengalami sakit bersalin dan berada selama 3 hari di hospital kerana kepalanya dah engage tetapi tersangkut kerana kepalanya bersaiz besar. Alhamdulillah, dia lahir secara normal tanpa bantuan sebarang ubat penahan sakit dan sebagainya.

2008-2009

Pada Oktober tahun ini saya disahkan mengandung lagi. Scan minggu ke-9 menunjukkan ada dua jantung dan dua kantung. Kembar lagi! Alhamdulillah, semua lancar sehingga minggu ke-14 apabila berlaku pendarahan teruk. Saya ditahan selama seminggu sehingga disahkan satu jantung sudah tiada lagi. Walaupun masih turun darah, saya dibenarkan pulang dengan syarat meneruskan “bedrest”. Saya tidak lagi memandu untuk menghantar atau menjemput anak-anak sekolah. Bayangkanlah bagaimana untuk mendapatkan “bedrest” sepenuhnya dengan 3 orang anak (yang ketiga berusia hampir dua tahun), sambil menguruskan rumahtangga. Saya tidak pernah ada pembantu, jadi saya buat apa yang saya mampu, Alhamdulillah, anak-anak rajin membantu.

                Saya keluar masuk hospital 2-3 minggu sekali selama 4-5 hari setiap kali kerana turun darah terlalu banyak dan terpaksa dimasukkan IV serta bayi diperiksa. Anak-anak suami uruskan, siang hari anak ke3 bersama saya dihospital, malam balik dengan Ayahnya. Begitulah rutin setiap kali saya masuk hospital, tak pastilah berapa kali!

                Pada  minggu ke-23, tiba-tiba saya rasa ada kebocoran air ketuban dan contractions yang kuat. Saya dimasukkan ke hospital (emergency) dan diletakkan di bawah pengawasan rapi, dimasukkan IV serta dimasukkan darah 1 pint. Gynae mohon saya ditahan “indefinitely” sehingga bersalin. Jadi anak ke3 terpaksa dimasukkan ke taska kerana saya tidak dibenarkan bangun kecuali untuk ke tandas. Seminggu kemudian berlaku pulak dilation (3cm) jadi saya dimasukkan ke “labour room” selama 9 hari! Dalam tempoh ini Erra Fazira bersalinkan anak sulungnya dan dah keluar pun dari hospital! Saya memegang rekod tahun itu untuk orang paling lama dalam bilik bersalin! Saya terpaksa menggunakan bedpan dan solat berbaring dengan isyarat sebagaimana orang uzur. Pengalaman yang tidak dapat dilupakan!

                Akhirnya, saya dibenarkan pulang ke wad bersalin biasa dibawah pengawasan rapi. Masih dikenakan “bedrest”. Pada minggu ke-26 saya disuntik dengan hormon untuk mematangkan paru-paru bayi. Orang lain mengalami kenaikan berat badan, berat badan saya menyusut! Saya diperiksa dengan rapi oleh pakar pemakanan dan pakar physio kerana saya telah mula mengalami “muscular atrophy” kerana kurang bergerak. Otot-otot saya jadi lemah kerana saya kehilangan “muscle tone”. Orang yg kurus dan aktif bila kurang bergerak itulah akibatnya. Jadi dari minggu ke-26 saya akan dilawati setiap pagi oleh pakar physio dan saya buat latihan menguatkan otot dan senaman lain di atas katil! Pada masa tu nak angkat sebotol sos tomato pun tangan saya akan bergetar!

                Pada 13 April 2009 genap 28 minggu kandungan saya dan Gynae saya  serta pakar Neonatologi mengesahkan keadaan bayi saya baik dan seberat sekitar 1kg dan kami pun menetapkan tarikh 15 April 2009 untuk pembedahan. Saya amat gembira dan lega mendengarkan keadaan itu, namun pada pagi itu jugalah kami sekeluarga menerima berita sedih. Suami saya kehilangan adik lelakinya akibat kemalangan bas ekspres 2 tingkat dekat Bukit Beruntung dalam perjalanan pulang ke KL. Inna lillahi wa inna ilaihi rajiuun. Dia baru kembali ke kampong untuk membeli cincin pernikahannya, yang dijadualkan pada penghujung Mei 2009. Suami saya terpaksa melakukan pengecaman mayat adiknya, sijil kematian dan menguruskan pelepasan jenazahnya. Suami dilarang oleh maknya untuk kembali ke Kedah untuk urusan pengkebumian memandangkan saya akan bersalin lusanya. Pada pagi 14 April 2009, adiknya selamat dikebumikan di kampungnya. Suami pula bercuti “compassionate leave” 13 dan 14 April serta menyambung cutinya untuk “paternal leave” hari-hari berikutnya untuk menyambut orang baru.

                Pada 15 April 2009, selepas solat Subuh, anak-anak dihantar seperti biasa ke sekolah dan ke taska. Suami ke hospital untuk persediaan pembedahan. Saya terpaksa dibius separuh pada kadar minima untuk memastikan bayi tidak terjejas. Dalam bilik pembedahan saya gementar kerana kali pertama dibedah. Alhamdulillah, suami di sisi memegang tangan saya dengan setia. Bila prosedur bermula, saya terasa pedih seperti dikelar-kelar. Kemudian apabila doktor mula memotong rahim, saya terasa kepedihan dan kesakitan yang amat sangat, hingga tak dapat mengeluarkan kata-kata. Saya sekadar menggenggam dengan kuat tangan suami sambil mengalirkan air mata. Sayup-sayup saya terdengar suami berkata “She’s in pain, doctor, she’s in pain!” Beberapa saat selepas itu saya diberikan gas anestetik dan terus tidak sedarkan diri.

                Saya tidak sedarkan diri selama sejam. Bila sedar saya terus bertanyakan bayi, midwife katakan anak saya lelaki, dilahirkan pada 8.30 pagi, seberat 1.1kg, selamat dan telah dibawa ke NICU. Suami saya sudah ke sana. Saya kemudian dibenarkan pulang ke bilik wad dan kakak saya datang menemani. Namun saya mula muntah-muntah dengan teruk dan terasa sangat lemah. Saya hanya teringatkan bayi saya dan setelah 6 jam, suami turun sambil membawa video rakaman bayi saya. Itulah kali pertama saya melihat anak saya! Dia memerlukan bantuan pernafasan dan penuh berselirat dengan wayar dan sebagainya. Alhamdulillah, dia seorang “fighter”, kata suami saya.

                Hanya awal pagi keesokan harinya saya gagahkan diri untuk duduk di kerusi roda dan disorong oleh suami untuk ke NICU. Saya telah mula memerah colostrum pada malam sebelumnya dan diambil dengan syringe oleh midwife dan disimpan bila bayi saya perlukannya. Pagi itu jugalah suami ke JPN untuk mendaftarkan nama anak dan menguruskan uri bayi.  Hari itu jugalah saya dapati saya alah kepada ubat penahan sakit (intravenous morfin) dan terpaksa dikeluarkan tiubnya dari tulang belakang saya. Saya hanya bergantung kepada ubat penahan sakit (oral) biasa yang jauh lebih rendah dosnya. Alhamdulillah, saya kuatkan semangat dan menahan kesakitan, sambil meneruskan pemerahan susu dengan tangan serta melakukan senaman ringan sendirian.

                Secara rasminya saya dibenarkan pulang 3 hari selepas bersalin, setelah 45 hari dihospital. Namun saya dibenarkan oleh syarikat suami untuk kekal sebagai “lodger” untuk memastikan saya dapat berehat, pulih dan berpantang hampir dengan bayi saya dan mudah membekalkan susu perahan. Bilik wad itu menjadi rumah kedua kami! Anak-anak akan datang melawat sebelah petang sambil saya uruskan makan minum, mandi-manda dan buat homework di hospital. Anak ke3 saya pulak bila melihat saya kuat, enggan ke taska lagi. Dialah peneman saya di bilik hospital dan apabila saya ke NICU untuk melihat adiknya di situ, dia duduk di kawasan “nursing station” menunggu saya.

                Saya berpantang bersendirian, saudara-mara yang terdekat mendapatkan dan memasak ikan haruan kegemaran saya dan saya teruskan senaman demi mengekalkan tenaga dan bekalan susu perahan. Alhamdulillah, setelah 2 minggu, ventilator di keluarkan dan bayi saya bernafas sekadar menggunakan tiub biasa. Bayi saya dipindahkan dari NICU ke Special Care Nursery (SCN) setelah 3 minggu. Setelah beratnya 1.6kg pada 34 minggu usia kandungan, saya memulakan kangaroo care dan direct breastfeeding sejam setiap kali di SCN. Akhirnya dia dibenarkan pulang ke rumah pada usia 63 hari dan berat mencecah 1.89kg. Saya memandu sendiri pulang ke rumah hari itu, sambil menjemput anak-anak dari sekolah.
                Alhamdulillah, anak ke-4 saya kini sihat, cergas, bijak, aktif dan telah mencapai semua “developmental milestones” yang diharapkan bagi kanak-kanak seusianya, walaupun mungkin menghadapi sedikit masalah penglihatan. Dia juga seorang abang yang baik....

2010
               
Saya disahkan mengandung pada April 2010 dan kandungan pada ketika itu telah berusia 9 minggu! Lactation-induced amenorrhea yang disangkakan berlanjutan, rupanya rezeki Allah buat kami lagi! Uneventful pregnancy, saya masih meneruskan memandu, menguruskan anak-anak yang berempat serta meneruskan penyusuan Muhammad sehingga kandungan masuk minggu ke-30. Tiba-tiba dalam minggu ke-32 saya terasa contractions dan sakit yang amat sangat di sebelah kanan seperti disiat-siat dari dalam. Saya terus ke emergency dan Gynae saya sahkan ada kemungkinan rahim saya sudah mula mengalami regangan di kawasan pembedahan (scar tissue) yang terdahulu, mengakibatkan sakit. Kepala bayi masih belum engage, jadi doktor kata perlu melalui pembedahan sekali lagi. Pada minggu ke-34, lahirlah anak ke5 saya seberat 1.9kg. Dia dimasukkan ke dalam incubator di SCN selama 6 hari dan dibenarkan pulang pada usia seminggu dan seberat 2kg. Alhamdulillah, semuanya lancar dan saya pulang ke rumah untuk berpantang dan dijaga oleh ibu mertua selama seminggu, seterusnya oleh anak-anak gadis saya sendiri. Anak ke5 saya kini sihat, lasak, aktif, bijak dan amat “observant” serta masih menyusu sehingga kini pada usia 21 bulan dan InshaAllah akan diteruskan sehingga self-weaning sekitar hujung tahun 2012 ini.



Penutup

                Setelah lapan kali mengandung dengan 10 janin; 5 orang anak yang hidup, 3 bersalin secara normal, dua secara pembedahan, 3 kali keguguran, beberapa tempat penanaman uri, satu persemadian bayi kami di Brunei, beberapa ratus hari di beberapa hospital yang berbeza, termasuk di perantauan, pengalaman dengan beberapa pakar yang berbeza, semuanya pengalaman yang banyak pengajarannya. Mengandung, bersalin, menyusui dan membesarkan anak-anak menjadi satu pengalaman hidup yang amat saya hargai, walaupun tidak mungkin bagi saya mengingati sepenuhnya setiap satu secara terperinci, terlalu banyak! Yang ada pada saya ialah anak-anak yang semakin membesar, kesan pembedahan serta lebih 30 kesan suntikan (untuk IV) di kedua-dua lengan saya.

Saya agak sedih (namun kini pasrah) kerana saya telah dipujuk (dan telah melalui “bilateral tubal ligation”) untuk memastikan saya tidak lagi mengandung, berikutan begitu banyak komplikasi rahim (uterine complications) yang saya alami. Alhamdulillah, rezeki Allah berikan melalui anak-anak dan kami tidak akan sia-siakan segala pemberian Allah dalam membesarkan mereka. Walaupun ramai yang pernah persoalkan bagaimana saya sanggup lalui semua ini, saya percaya dan yakin, ini ujian kecil dari Allah. Allah sayangkan kita dan hanya akan menguji setakat kemampuan kita. Maksudnya, kita perlu tingkatkan keyakinan kita pada ketetapan Allah, usah mengeluh, sentiasa redha, dan tawakkal selain berusaha mana yang patut. Yakinilah bahawa ada hikmah disebalik setiap sesuatu peristiwa dalam hidup kita. InshaAllah, kita dapat lalui segalanya dengan baik dan dengan penuh rasa takjub dengan kekuasaanNya.